Pendahuluan

Selamat Datang Ke Laman Blog Kadet Remaja Sekolah Malaysia

Assalamualaikum dan salam sejahtera, salam 1 Malaysia. Pengunjung yang dihormati sekalian, laman ini saya bangunkan atas inesiatif saya sendiri yang ingin berkongsi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam dunia Kadet Remaja Sekolah (KRS) yang saya telah ceburi sejak saya bersekolah lagi.
Diharapkan tuan-tuan dan puan-puan akan dapat memberikan sokongan terhadap laman ini dengan menjadi Follower blog ini. Tuan-tuan dan puan-puan boleh menyumbangkan apa sahaja yang dirasakan bermanfaat untuk dikongsikan. Saya juga berharap kemudahan ini tidak disalahgunakan dengan menyebarkan dakyah yang tidak berkaitan dengan KRS.
Sekian, wassalam.///

Penulis Blog

Assalamualaikum... Salam sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Nama saya Syamsul Bahri Bin Amiruddin, seorang guru penasihat Kadet Remaja Sekolah (KRS) di SMK Desa Kencana, Lahad Datu, Sabah. Saya dilantik menjadi penasihat KRS di sekolah ini sejak tahun 2007 lagi, tahun saya dipostingkan di sekolah tersebut.

Saya sudah bergiat dalam KRS ini sejak dibangku sekolah lagi iaitu semasa saya di tingkatan 4 di SM Sains Lahad Datu pada tahun 1996. Pada waktu itu, KRS baru sahaja ditubuhkan. Jadi tidak banyak yang saya dapat belajar pada waktu itu memandangkan perlaksanaannya masih belum meluas lagi.

Selepas menamatkan zaman persekolahan, saya tidak pernah mengikuti perkembangan KRS seterusnya. Sehinggalah saya menyambung pengajian di Maktab Perguruan Kent (Institut Pendidikan Guru Kampus Kent) dalam diploma pendidikan. Saya memilih KRS sebagai Unit Beruniform dalam aktiviti Kokurikulum. Di sinilah saya mula mengikuti semula perkembangan KRS terkini selepas 10 tahun saya tinggalkan. Kemahiran asas yang telah saya miliki menjadikan saya selesa dengan semua aktiviti yang dijalankan. Saya juga dapat belajar bagaimana untuk menjadi seorang jurulatih KRS.

Sebelum menamatkan pengajian di maktab, kami sempat mengikuti Kursus Kepegawaian dan Kejurulatihan dan dikurniakan Sijil Kejurulatihan dan memegang pangkat Leftenan Muda KRS. Apabila dipostingkan di SMK Desa Kencana, saya terus memilih KRS sebagai aktiviti kokurikulum saya sehingga sekarang. Saya sangat terkejut sebaik sahaja mengkaji sedikit latarbelakang KRS di sekolah ini. Semua pelajarnya tidak tahu langsung mengenai KRS. Mereka langsung tidak tahu sejarah penubuhan KRS, lagu KRS dan segala-galanya. Mereka hanya tahu Nama KRS dan kenal T-shirt KRS sahaja.

Memandangkan masalah yang berlaku itu sangat lah ketinggalan maka saya dan sahabat-sahabat penasihat yang lain mengatur langkah perlahan-lahan untuk memperkenalkan dunia KRS kepada ahli kadet. Sokongan Unit Kokurikulum juga banyak membantu memurnikan pengurusan badan beruniform secara keseluruhannya. Mula-mula saya melibatkan ahli KRS dalam aktiviti kokurikulum yang dianjurkan oleh pihak sekolah memandangkan mereka langsung tidak pernah menyertainya sebelum ini. Penggunaan Uniform pada hari Rabu juga telah dikuatkuasakan memaksa ahli memiliki uniform. Bantuan pakaian seragam oleh pihak kementerian juga membantu sedikit sebanyak beban ibubapa yang terpaksa memberikan kerjasama.

Sehingga setakat ini, KRS sekolah ini sentiasa menyertai setiap aktiviti sekolah yang dianjurkan setiap tahun. Antarnya ialah Perbarisan sempena Sukan Tahunan, Perkhemahan Dalaman, Kursus asas kawat kaki dan aktiviti kemuncak iaitu Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform. Walau bagaimanapun, kami masih belum pernah menyertai aktiviti di luar sekolah. Ini diburukkan lagi dengan Seketariat KRS daerah yang tidak aktif. Kami tidak pernah dimaklumkan akan aktiviti di peringkat daerah menyebabkan kami hanya bergerak di sekolah sahaja.

Sebelum meninggalkan sekolah ini, saya berazam untuk membawa ahli KRS kami menyertai sekurnag-kurangnya satu aktiviti di peringkat daerah. Jadi adalah menjadi harapan saya kepada pengunjung sekali dapat berkongsi pengalaman anda di ruangan ini supaya kita dapat bersama-sama menjayakan Kadet Remaja Sekolah.

Sekian, Wassalam.///